Thursday, 20 March 2014

PKR masih berfikiran seperti Umno


Menurut Dr Jeffrey, parti pembangkang tempatan, tidak menolak sepenuhnya kerjasama dengan parti pembangkang di peringkat nasional iaitu Pakatan Rakyat.



“Tetapi sebagai pemimpin Sabah kita harus menunjukkan ketegasan khususnya dalam soal hak dan otonomi Sabah. Kerjasama itu haruslah menjurus kepada matlamat mengekalkan kedua-duanya,” tegas beliau.



“Dalam beberapa siri perbincangan dengan PKR, kita tidak mencapai persetujuan dalam soal pengagihan kerusi. Mereka ingin meletakkan majoriti calon di kawasan parlimen dan DUN dan hanya memberi satu atau dua kerusi kepada parti tempatan. Perundingan terakhir yang dihadiri Ketua Umum sendiri juga tidak mencapai kata sepakat. Akhirnya dalam PRU lalu berlaku ‘free for all’ yang tidak menghasilkan keputusan yang diharapkan,”katanya dengan nada sedikit kecewa.



“Jangan salah faham. Ini bukan soal Dr Jeffrey. Ini bukan soal saya mahu sangat jadi Ketua Menteri tetapi jawatan itu mesti diwakili seorang wakil rakyat yang mewakili parti tempatan. Saya tidak penting. Hak-hak Sabah dan status otonomi yang perlu kita pertahankan,” tegas Dr Jeffrey.



Saya beritahu Dr Jeffrey, pada PRU akan datang, saya ingin kemukakan formula kerjasama antara PR dengan parti tempatan Sabah. Cadangan formula itu seperti berikut:-



Terdapat 26 kerusi parlimen di Sabah termasuk Labuan. PR boleh meletakkan 20 calon. Parti pembangkang ‘Sabah based’ masing-masing diberi satu atau dua kerusi. Jika terdapat tiga parti pembangkang tempatan, jumlah kerusi yang ditandingi cuma enam berbanding PR yang bertanding di 20 kawasan.



Pada peringkat Dewan Undangan Negeri pula, parti Sabah based mesti bertanding lebih banyak kerusi dari PR. PKR dan PAS boleh meletakkan calon di beberapa kawasan DUN tetapi tidak melebihi 10 kawasan. DAP akan meletakkan calon-calon di lapan kawasan kerusi DUN yang majoriti pengundi kaum Tionghua. Ini bermakna daripada 48 kerusi DUN Sabah, 18 akan diwakili PR, 30 akan diwakili parti tempatan.



Saya kata formula itu lebih adil. Di peringkat Parlimen, PR akan bertanding di 20 kawasan, parti tempatan bertanding di enam kawasan. Peringkat DUN parti tempatan bertanding 30 kawasan dan PR bertanding 18 kawasan. Parti tempatan perlu kekalkan kerusi majoriti diperingkat DUN untuk mempastikan ketua menteri Sabah adalah dipilih daripada kalangan ADUN yang diwakili Sabah based party.



Dr Jeffrey tidak terus menyatakan persetujuan dengan cadangan atau formula saya. Dia hanya berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PR terlalu yakin akan beroleh kemenangan besar dalam PRU yang lalu dengan hanya sokongan daripada negeri-negeri di Semenanjung.



Dr Jeffrey menjelaskan, semasa dalam PKR sebagai Naib Presiden parti itu, ada tiga isu utama yang dibangkitkan. Pertama, isu kewangan dan minyak, Anwar tidak menolak sepenuhnya cadangan beliau. Dia hanya cakap “Ini susah!” Kedua ialah isu kepimpinan di Sabah.



“Saya minta dan suarakan dalam soal perlantikan Ketua Perhubungan Sabah dan Sarawak atau pengerusi MPN hendaklah dipilih ahli-ahli di negeri masing-masing bukan dilantik. Kalau dilantik macam Umno juga. Pada mulanya cadangan saya dibincang dalam Biro Politik PKR. Ada juga negeri-negeri lain beri sokongan.Tapi pusing-pusing balik ke asalnya. Cadangan saya tidak lagi diambil perhatian.,” dedah beliau,



Isu yang ketiga ialah penubuhan jawatan kuasa khas untuk mengkaji semula perjanjian Malaysia 1963 yang sepatutnya dilakukan pada 1973 iaitu 10 tahun selepas Perjanjian Malaysia ditandatangani.”



Apa yang berlaku selepas itu? Bukan sahaja cadangan-cadangan itu dilupakan begitu sahaja. Anwar sendiri melantik dirinya menjadi pengerusi MPN Sabah, selepas itu dia digantikan Wan Azizah dan seterusnya Azmin Ali.



“Saya berpendapat mereka masih berfikiran seperti Umno. Jika mereka ambil alih Putrajaya, mereka juga mengambil pendekatan sama seperti Umno, ” dedah Dr Jeffrey lagi.



Oleh kerana tidak berpuashati dengan cara parti itu, Dr Jeffrey meninggalkan PKR pada 28 Oktober 2008. Pada PRU lalu, beliau bertanding atas tikit parti STAR dan menang kerusi DUN Bingkor.



FMT Borneo Plus





Bacaan penuh Dari Sumber

0 komen:

Post a Comment