Asoe 1 ~ Raja Lun Bawang
Pada suatu masa dahulu, bersemayam seorang raja Lun Bawang bernama Asoe anak Rangit
Nota: Posting kali ini adalah lain daripada kebiasaan. Jika anda merasa ia membosankan, layan sajalah. Silalah bertandang semula nanti untuk posting yang lebih menarik dan berbentuk semasa.
Asyik-asyik Raja Sulu, bila nak habis.
Kali ini saya ingin bercerita mengenai Raja Lun Bawang. Ini merupakan kisah lagenda keluarga yang diceritakan turun-temurun selama empat generasi oleh sebahagian masyarakat kadayan dan lun bawang di Sipitang (Sabah) dan Trusan (Sarawak). Ceritanya begini, kisah seorang raja pribumi di daerah Trusan, Sarawak.
"Pada suatu masa dahulu, bersemayam seorang raja Lun Bawang (disebut sebagai Aaja Muut di dalam bahasa Kadayan) bernama Asoe anak Rangit [Asoe]. Bagi orang-orangnya etnik Lun Bawang di kawasan Trusan, Sarawak yang luas itu [juga disebut secara umum sebagai Lun Dayeh di Sabah dan 'oang muut' oleh kadayan] baginda merupakan raja sebenar mereka.
Asoe merupakan raja yang disegani. Juga raja dalam segala aspek kehidupan yang sepatutnya bagi seorang pemimpin feudal pada zaman itu. Kuasa baginda termasuklah juga sebagai pemimpin bangsanya (chieftain), menjadi menentukan hukuman [sagit] (hakim), pelindung keselamatan terutama dari ancaman 'ngayau' yang berterusan dari kawasan sekitar (panglima) serta mengatur kemasylahatan komunitinya (pentadbir eksekutif).
Adalah difahamkan bahawa komuniti Lun Bawang ini tinggal berhampiran dan berhubungan baik dengan orang-orang kadayan, satu lagi etnik pribumi pulau Borneo yang telah menerima kedatangan agama Islam sezaman atau awal sedikit daripada rakyat Melaka. Hubungan dan demografi penempatan sedemikian berterusan sehingga ke hari ini.
Di masa lampau, lun bawang, kadayan bersama beberapa lagi etnik minoriti telah digelar oleh orang-orang brunei sebagai 'orang darat'. (Sila cari siri Aku Oang Daat siri 1 - 20 dalam entri kadayan universe untuk mengetahui kehidupan seharian mereka). Para pengkaji awal Eropah pula mengkategorikan mereka sebagai etnik Klemantan walaupun berbeza bahasa dan agama di antara satu dengan yang lain kerana sebab-sebab tertentu. Di antara sebabnya termasuklah kerana mereka merupakan etnik minoriti di Sarawak. Selain itu mereka tidak boleh dikelaskan dengan mana-mana etnik majoriti kerana perbezaan gaya hidup dan bahasa yang ketara.
Berbalik kepada Raja Asoe, suatu hari isteri baginda mengandung dan sampai masa untuk melahirkan cahaya mata. Sudah tentulah sang raja merasa gembira kerana bakal menimang zuriat yang akan menjadi penggantinya suatu masa kelak.
Kemudian ditakdirkan lahir seorang putera. Malang sekali, sampai masanya anak yang ditunggu-tunggu ini telah dilahirkan songsang. Bertepatan pula dengan segala kemunduran dunia perubatan pada masa itu, akibat fatal yang berlaku tentulah boleh dijangka. Ajaib kerana bayi itu hidup, tetapi permaisuri baginda meninggal dunia semasa melahirkan.
Konon mengikut adat mereka, kelahiran bayi sedemikian rupa tidak diterima kerana kelak mengundang nasib yang tidak baik. Lagi pula bila lahir saja dia telahpun 'membunuh' ibunya sendiri.
Berat mata memandang lagi berat bahu memikul. Membuang anak anjing pun sukar dilakukan, apatah lagi membuang anak sendiri. Sang permaisuri pula baru pergi meninggalkan baginda untuk selama-lamanya, ibarat jatuh ditimpa tangga.
Tetapi biar mati anak daripada mati adat. Lalu sang raja bermesyuarat dengan para pembesar baginda. Kesudahannya keputusan telah sepakat diambil dengan berat hati. Putera ini harus 'dibuang' jauh dari keluarga untuk mengelakkan badi yang akan berlaku.
Lalu keesokan paginya, sang putera yang baru lahir ini dengan persalinannya diletakkan di atas talam. Kemudian bayi kecil dengan tangisan hiba yang tidak tahu apa-apa ini dibawa turun ke halaman.
Diletakkan di kepala tangga bersama persalinannya, sebuah meriam kecil dan seorang hamba sahaya yang menjadi penjaga dan hanya dikenali oleh orang kadayan dengan nama 'Si Badil', mungkin bersempena dengan meriam kecil yang disertakan. Tujuannya ialah, dia akan 'dibuang' secara diserahkan kepada sesiapa saja yang menjadi orang pertama melintas di kawasan istana raja dan terserempak dengan bayi berkenaan.
Hendak dijadikan cerita. Pada pagi kejadian itu berlangsung, orang yang mula-mula berjalan dan terserempak dengan bayi ini ialah seorang pemimpin masyarakat kadayan yang hanya dikenali sebagai Orang Kaya Kaya [OKK] Tok (datu, datuk, atok) Janggut. Beliau adalah Native Chief [NC] dari kawasan berhampiran. Pada masa lampau, NC [sekarang dipanggil Ketua Anak Negeri - KAN] merupakan jawatan pentadbir yang paling tinggi boleh dipegang oleh seseorang pribumi bagi kawasan pulau Borneo yang dijajah oleh British. Tidaklah dapat dipastikan sama ada beliau pada ketika itu sudah merupakan seorang NC atau hanya dilantik menjadi NC kemudiannya. Apa yang pasti ialah, Tok Janggut merupakan kawan baik Raja Asoe.
Sang raja yang menghadapi masalah, sudah tentulah beritanya sudah dicanang ke merata pelusuk rantau bumi Trusan. Dari sumber yang lain, diceritakan bahawa Raja Asoe sebenarnya telah terlebih dahulu memberitahu Tok Janggut tentang apa yang bakal berlaku kepada bayinya. Lagipun orang kadayan yang beragama Islam tidak terikat dengan adat yang sedemikian rupa.
Oleh itu kehadiran Tok Janggut sebagai orang pertama yang bertembung lalu memungut bayinya pada pagi berkenaan bukanlah suatu kebetulan, tetapi sebaliknya merupakan sesuatu yang telah dirancang rapi demi kebaikan semua pihak yang terlibat.
Dipendekkan cerita, putera ini membesar sebagai orang kadayan. Beragama Islam dan dikenali selama hayatnya dengan nama Akim (Abdul Hakim). Sampai jodohnya, dikahwinkan oleh ayah angkatnya Tok Janggut dengan wanita kadayan bernama Murah, anak kepada OKK Bongsu, juga seorang lagi NC di Sarawak ketika itu.
Tetapi bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus. Begitulah juga hubungan Akim dengan bapa kandungnya, Asoe. Beliau tidak pernah menyembunyikan identiti sebenarnya sebagai seorang lun bawang. Ini jelas apabila kemudian Akim berpindah ke daerah Mangalong, Raja Asoe menitahkan beberapa orang rakyatnya berserta keluarga mereka untuk mengiringi dan membuka tanah untuk beliau di sana. Sumber cerita yang lain mengatakan seramai 40 keluarga, malah cukup dengan keluarga si anu si polan yang tidak akan disebut di sini kerana entah benar atau tidak tiada siapa lagi yang boleh memastikannya sampai bila-bila. Takut nanti salah sebut kena saman pula, tidakkah naya.
Diceritakan juga bahawa Akim pernah tinggal berkampung di beberapa tempat di Mangalong yang sekarang ini dikenali sebagai daerah Sipitang. Di antaranya ialah kawasan Marintaman, Banting dan Luagan. Merupakan seorang kadayan (sebenarnya seorang Lun Bawang!) yang berilmu dan mempunyai lagendanya yang tersendiri. Apabila disebut sebagai 'berilmu' mengikut definisi orang kadayan, ia bermaksud memiliki gabungan ilmu kesufian dan kebatinan yang saling berkait dengan begitu erat di antara satu dengan yang lain. Adunan ini amat popular di kalangan mereka sehingga ke akhir alaf yang lepas.
Mengikut cucunya yang bernama Tusop (beliau masih hidup sehingga ke hari ini - semasa artikel ini disiapkan), 'batu mainan' Akim yang beratnya bertan-tan masih boleh dilihat di sungai Marintaman, Sipitang. Adalah menjadi tabiat Akim untuk menimang batu berkenaan, selain dari diangkat untuk disorongkan sebagai titi kepada sesiapa yang kebetulan ingin menyeberang sungai semasa beliau mandi.
Salah seorang anak Akim bernama Bahar (Baha-uddin, Baharuddin), seorang jagoan Mengalong pada zamannya. Memiliki ilmu pendekar yang amat tinggi. Bahar disifatkan oleh seorang anaknya, Daud, sebagai seorang yang berjiwa bebas, panas baran dan tidak suka dikongkong. Mengikut Daud, bapanya pernah ditangkap oleh British dan dipenjarakan sebulan serta denda sebanyak $80 (dianggar berlaku pada sekitar lewat tahun 1920an) di Mempakul (sekarang Kuala Penyu) iaitu sebuah pusat pentadbiran Syarikat Borneo Utara British kerana suatu kesalahan yang dilakukannya di Sualai, Sarawak.
Gandingannya ialah sepupunya yang juga bernama Bahar [OT (Orang Tua / Ketua Kampung) Bahar bin Bangkul ~ Info daripada Sdr. Kadayan Mangalung, terima kasih]. Pasangan '2 Bahar' ini juga dikenali sebagai 'Bahar Muut-Bahar Kadayan'. Gelaran lain ialah 'Bahar Kaya-Bahar Miskin'. Bahar kaya ialah sepupunya, manakala Bahar miskin pula ialah Bahar bin Akim. Miskin kerana jiwanya yang bebas dan tidak endah untuk bercucuk tanam serta bekerja mengumpul harta seperti orang lain. Kegemarannya ialah bergelandangan ke sana ke mari tanpa tujuan tertentu untuk tempoh yang lama sebelum kembali ke Mangalong. Antara tempat yang pernah beliau menetap ialah di sekitar Lingkungan, Marintaman, Labuan, Mempakul, Marapok, Lawas, Miri dan sudah tentulah Trusan untuk bertemu sanak saudaranya.
Kedua-duanya memiliki upacara sendiri apabila bersua. Sebaik berjumpa masing-masing akan menghunus parang panjang lalu bertarung dengan ilmu yang dimiliki. Setelah terselamat selepas tujuh langkah pertarungan, konon barulah dianggap bersaudara semula.
Bahar kemudian mengambil keputusan menetap di kampong Pantai, Sipitang setelah didesak oleh sepupunya. Bahar kayalah yang menyuruh orang-orangnya memugar satu kawasan pamah di seberang halaman rumahnya untuk disediakan sebagai tapak rumah sepupunya. Kawasan ini masih didiami oleh anak-anak Bahar sehingga sekarang.
Akan tetapi walaupun telah menjadi orang kadayan; sama ada Akim, atau Bahar serta kemudian anak-anaknya tetap tidak putus hubungan dengan saudara-mara Lun Bawang. Kedua-dua mereka adalah disayangi (ditakuti?) oleh saudara-mara serta orang-orang sama ada daripada etnik kadayan dan lun bawang. Misalnya setiap kali apabila tiba musim padi, sawah kepunyaan Akim dan Bahar akan dibersihkan dan dipastikan sedia untuk ditanam. Apabila kenduri-kendara diadakan, mereka tetap dikunjungi oleh saudara-mara dari Trusan. Persaudaraan ini adalah terjalin dengan baik sehingga sekarang malah diperkukuhkan lagi dengan kahwin campur di antara beberapa keluarga yang berkenaan.
Cuma mengikut anak sulung Bahar, bapanya berpesan bahawa anak cucunya tidak lagi harus mengikuti adat pemberian berian dan menerima berian seumur hidup daripada saudara lun bawang. Entah apa sebabnya wasiat ini dikeluarkan tidaklah pula diketahui dengan pasti."
Inilah cerita yang menjadi buah mulut kami sejak kecil dulu.
Kisah ini merupakan cerita kegemaran dalam tradisi lisan keluarga. Ia adalah 'bed time story', cerita penggerak semangat, dan juga bahan kegemaran sesi bercerita selepas makan malam di zaman tanpa TV yang menjadi hiburan saban malam. Silih berganti dan berulang-ulang, dari mulut arwah ayah, pakcik-pakcik dan makcik-makcik sehingga ia merupakan cerita yang masih segar diingatan hingga ke hari ini.
Saya merasa bertanggungjawab untuk menulis cerita di atas bukan untuk apa-apa tujuan yang tersembunyi. Sebaliknya semata-mata untuk tatapan generasi akan datang supaya tidak melupakan asal-usul mereka. Jika tidak ia akan hilang begitu saja ditelan oleh arus zaman.
Ketepatan cerita lagenda ini tidak diketahui, kalau salah sila betulkan. Yang pasti keturunan Asoe pada hari ini telah pun bertebaran di seluruh pelusuk pulau Borneo.

Raja Asoe

Akim, anak Asoe a.k.a Abdul Hakim

Bahar bin Akim

Dipetik dari: Arimi Sidek Online Blog
0 komen:
Post a Comment