Saturday, 15 February 2014

Jangan Politikkan GST: Salleh



Sebenarnya jika pengguna mengunakan haknya, harga bukan masalah utama; sebabnya sebagai negara yang mengamalkan pasaran terbuka, maka pengguna bebas memilih jenis barangan yang mahu dibeli, termasuk barangan keperluan harian. Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Salleh Tun Said berkata semasa merasmikan penerangan berkaitan GST di Kota Belud pada Sabtu berkata "Sebagai pengguna kuasa pilihan adalah ditangan pengguna dgn pengguna mempunyai pilihan memilih barangan sama ada yg murah ataupun mahal."



Apa itu GST?



Dengar saja tentang GST perkara pertama yang akan terlintas di kepala kita sudah pastilah tentang kenaikan harga barang disebabkan cukai yang dikenakan kerajaan. Malah pembangkang, sejak GST dibentangkan oleh Perdana Menteri semasa bajet tahun 2014, sehingga kini, mereka ke hulu ke hilir mempolitikkan GST, dengan berbagai tanggapan negatif.



Setelah menerima maklumbalas daripada laman media sosial Twitter dan FB saya simpulkan ramai yang sebenarnya tidak faham tentang apa itu sebenarnya GST, bagaimana GST dilaksanakan dan juga kesan GST terhadap harga barang dan perkhidmatan. AYT tidak menyalahkan kawan-kawan semua kerana kerajaan juga tersilap langkah apabila penerangan tentang GST tidak dibuat secara menyeluruh malah peluang menerangkan GST melalui media perdana seperti suratkhabar, tv & radio disia-siakan kerajaan apabila ia hanya digunakan untuk menghentam pembangkang, menabur fitnah dan terbaru membangkitkan semangat perkauman.



CUKAI DI MALAYSIA



Terdapat dua jenis cukai utama yang dikenakan kepada rakyat Malaysia yang pertama cukai pendapatan (income tax) dan yang kedua cukai penggunaan (consumption tax). Cukai pendapatan adalah cukai yang dikenakan ke atas segala pendapatan termasuk gaji, bonus, hadiah, komisen, dividen dan sebagainya. Manakala cukai penggunaan dikenakan ke atas barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang kita gunakan. GST terletak dibawah kategori cukai penggunaan (consumption tax).



APA ITU GST DAN SST?



GST adalah ‘Goods and Services Tax’ atau cukai barangan dan perkhidmatan. Selama ini kita rakyat Malaysia membayar SST iaitu ‘Sales tax and Service tax’ atau cukai jualan dan cukai perkhidmatan. SST kebiasaannya dikenakan ke atas bil telekomunikasi, internet, ASTRO, tiket wayang, tiket parking, barangan di supermarket, KFC, McD, Pizza pada kadar 6% untuk cukai perkhidmatan (service tax) dan 10% untuk cukai jualan (sale tax). Anda boleh merujuk bil atau resit setiap kali anda membuat bayaran bil telefon, ASTRO, selepas membeli belah di Tesco, Jusco, Giant dan sebagainya semuanya ada tertera jumlah dan peratusan SST yang dibayar.



GST yang dicadangkan kerajaan Malaysia pada tahun 2009 adalah pada kadar 6% menjadikannya lebih rendah daripada SST pada kadar 4%-10%. Jadi apa bezanya GST dan SST? Pelaksanaan GST merangkumi segala jenis barangan dan perkhidmatan yang ada di Malaysia termasuk barangan yang diimport mahupun yang dibuat dibuat di Malaysia. GST akan mengenakan cukai pada setiap lapisan peringkat bekalan barangan dan perkhidmatan contohnya dari pengilang (manufacturer), pemborong (wholesaler), peruncit/kedai (retailer) hinggalah kepada pengguna (end-customer). Cukai GST ini akan dikutip setiap kali transaksi berlaku dan penjual akan mengutip cukai daripada pembeli mengikut rantaian bekalan tadi. Walaubagaimanapun 6% itu adalah kadar tetap dan tiada cukai berganda (multiple taxes). SST pula kebiasaannya dikenakan kepada pelanggan yang membeli barangan daripada kedai/peruncit dan terdedah kepada cukai berganda. Pelaksanaan SST juga tidak menyeluruh menjadikan ia tidak saksama.



PELAKSANAAN GST



Idea melaksanakan GST ini mula dibincangkan pada tahun 2007 dan pada mulanya dijadualkan untuk dilaksana pada tahun 2009 kemudiannya ditangguh atas sebab pilihanraya dan juga atas sebab kurangnya pemahaman tentang GST dikalangan rakyat Malaysia. Kemudiannya rang undang-undang GST dibaca diparlimen buat kali pertama pada tahun 2009 dan dijadualkan dibaca untuk kali kedua pada 2010 namun ia ditangguhkan juga atas sebab-sebab yang sama.



Anda boleh merujuk keratan berita dari Berita Harian tentang jadual bacaan rang undang-undang GST di sini: Pelaksanaan GST Ditangguh



GST yang dicadangkan kerajaan adalah pada kadar rata 6% untuk SETIAP barangan dan perkhidmatan WALAUBAGAIMANAPUN kerajaan akan mengecualikan GST ke atas barangan seperti makanan asas beras, gula, tepung, pengangkutan awam seperti tiket bas, komuter, LRT dan juga barangan seperti ubat-ubatan dan sebagainya. Dengan pengecualian ini kesan kenaikan harga ke atas barangan dan perkhidmatan asas adalah minima (atau tiada). Perkara ini ada dinyatakan di laman web Kastam DiRaja Malaysia tentang GST:



KEPERLUAN MELAKSANAKAN GST



GST perlu dilaksanakan untuk meluaskan kadar kenaan cukai kepada semua individu dan perniagaan di Malaysia lalu menambah pendapatan kerajaan secara tidak langsung. GST juga akan menutup kelemahan pengurusan cukai SST seperti cukai berganda, lari daripada cukai (tax evasion) dan sebagainya. Untuk pengetahuan pembaca daripada jumlah penduduk (populasi) seramai 28 juta di Malaysia kurang daripada 10% membayar cukai pendapatan manakala daripada keseluruhan tenaga buruh (workforce) seramai 11 juta di Malaysia peratusan yang membayar cukai pendapatan (income tax) adalah lebih kurang 25%. Rujuk taksiran pembayar cukai bermastautin daripada perangkaan tahunan negara:



Bermakna mereka yang membayar cukai pendapatan adalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang menerima manfaat daripada kerajaan seperti BR1M, BB1M dan segala bentuk jenis subsidi yang lain. GST akan menjadikan setiap lapisan masyarakat sama ada miskin, sederhana atau kaya membayar cukai untuk menyumbang kepada pendapatan kerajaan.



GST TIDAK ADIL KEPADA ORANG MISKIN?



GST nampak tidak adil kepada mereka yang berpendapatan rendah kerana mereka terpaksa membayar cukai pada kadar yang sama seperti mereka yang berpendapatan tinggi. Oleh sebab itu kerajaan disamping melaksanakan GST perlu memperkenalkan pakej atau program seperti bayaran tunai atau rebat kepada mereka yang berpendapatan rendah. Program sekarang seperti BR1M boleh dijadikan contoh tetapi pelaksanaannya perlulah teliti dan lebih sistematik agar bayaran tunai untuk menangani kos GST tidak tiris dan terdedah kepada penyelewengan (contohnya: orang yang tidak layak juga terima BR1M).



Konsep cukai penggunaan (consumption tax) seperti GST adalah semakin banyak anda membeli barang atau menggunakan perkhidmatan semakin banyak cukai yang dibayar. Bermakna anda boleh mengawal perbelanjaan anda secara berhemah dan berjimat. Mereka yang berpendapatan tinggi akan membayar cukai lebih tinggi apabila mereka berbelanja lebih berbanding mereka yang berpendapatan rendah hanya akan berbelanja mengikut kemampuan mereka. Program bantuan tunai daripada kerajaan akan mengurang kesan GST kepada mereka yang berpendapatan rendah.



KESAN GST



GST jika dilaksanakan seperti di negara lain contohnya Singapura, apabila GST dilaksanakan kadar cukai pendapatan (income tax) akan dikurangkan secara berperingkat. Ini akan memberi kesan positif kepada pembayar cukai pendapatan di mana mereka akan ada lebih pendapatan boleh guna (disposable income) untuk dibelanja atau disimpan. Walaubagaimanapun kerajaan Malaysia masih belum bercadang untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan, mungkin ia akan dimaklumkan kemudian hari. GST juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat menyimpan untuk pelaburan dan berbelanja secara berhemah dan jika perlu sahaja.



Mengenai kerisauan dikalangan kita bahawa GST akan meningkatkan harga barangan, memang ia tak dapat dinafikan yang ada sesetengah barangan akan naik harga TETAPI ada juga barangan yang akan turun harga setelah kadar GST 6% ini dilaksanakan kerana sebelum ini SST 6-10% dikenakan maka ada penguranagan kadar cukai disitu. Harga KFC, tiket wayang, bil telco akan berkurang sedikit manakala barangan yang tidak dikenakan cukai SST sebelum ini seperti barangan elektrik, komputer dan sebagainya akan meningkat sedikit. Kita perlu perbetulkan pemahaman dan salahfaham mengenai konsep GST sebelum menganggap ia semata-mata akan menaikkan harga barang.



Kerajaan juga akan membentuk jawatan kuasa yang memantau serta mengawal kadar kenaikan harga barang agar kenaikan harga barang tidak mendadak dan peniaga tidak akan mengutip untung berlebihan:



Di atas OKB telah menerangkan konsep, pelaksanaan dan kesan GST kepada kita semua. Jika anda bertanya apakah penulis bersetuju pelaksanaan GST? OKB menyokong pelaksanaan GST ini dengan syarat kerajaan meningkatkan kecekapan pengurusan jabatan-jabatan yang terlibat, pemantauan teliti untuk mengelakkan pengguna ditekan atau ditipu peniaga dan penerangan yang lebih jelas kepada rakyat keseluruhannya. Kerajaan juga perlu memperkenalkan pakej atau program yang lebih mampan untuk menangani kesan GST kepada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar. Pelaksanaan GST tidak boleh dilaksanakan dengan terburu-buru dan perlu diadakan tempoh percubaan (trial period) sepertimana ia dijalankan di negara lain. Disamping itu kerajaan juga sepatutnya menurunkan cukai pendapatan dan juga meningkatkan pendapatan seisi rumah untuk menangani kesan langsung daripada GST.





Bacaan penuh Dari Sumber

0 komen:

Post a Comment