Thursday, 13 June 2013

Kelab Greenboc








Kelab Greenboc























Najib Bakal Hadapi Undi Tak Percaya, Ku Li Ambil-Alih Jawatan PM?


Posted: 13 Jun 2013 12:38 AM PDT









Tengku Razaleigh Hamzah telah bertemu dengan lebih ramai ahli Parlimen daripada kedua-dua gabungan bertelagah minggu ini dalam usaha untuk dipilih sebagai perdana menteri selepas Parlimen bermula pada 24 Jun, kata sumber.



The Malaysian Insider difahamkan, putera raja Kelantan itu telah mengaturkan mesyuarat di rumah a la White Housenya di Langak Golf di sini untuk membincangkan strategi mendapatkan cukup angka dalam Parlimen ke 13 untuk mengambil alih jawatan Datuk Seri Najib Razak.



Beliau hanya memerlukan 112 undi, termasuk dirinya, jika usul diluluskan bagi 222 anggota Dewan Rakyat memilih perdana menteri. Akan tetapi masih diragui sama ada beliau boleh mendapatkan cukup sokongan untuk menjatuhkan Najib.



"Sesetengah ahli Parlimen bersetuju Ku Li adalah satu-satunya boleh menyediakan kepimpinan," kata sumber yang biasa dengan mesyuarat tersebut kepada The Malaysian Insider merujuk kepada nama samaran putera raja Kelantan itu.



"Kita bercakap tentang sokongan dari PAS dan DAP juga," tambah beliau.



PAS dan DAP masing-masing memenangi 21 dan 38 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 5 Mei yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya mendapat 133 kerusi Parlimen, lebih rendah tujuh berbanding 140 dimenanginya pada Pilihan Raya 2008.



Sekutu PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), PKR mendapat 30 kerusi Parlimen dan pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai calon gabungan itu bagi jawatan perdana menteri jika mereka menawan Putrajaya.



Satu sumber lain mengatakan Tengku Razaleigh dilihat sebagai calon kompromi oleh ahli-ahli Parlimen BN yang tidak menyokong sama ada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Anwar untuk jawatan tertinggi itu.



"Pemilihan untuk ahli-ahli Parlimen BN yang tidak gembira mudah. Ku Li atau Muhyiddin akan tetapi memilih TPM bermakna penerusan polisi Mahathir. Tiada beza diantara Najib dan Muhyiddin.



"Ku Li sebagai PM akan bebas daripada polisi seperti itu," kata sumber kepada The Malaysian Insider merujuk kepada pesaing ahli Parlimen Gua Musang itu, perdana menteri paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad.



Kem Mahathir sudah memberikan tekanan kepada Najib untuk membuang penasihat-penasihatnya yang mana strategi mereka menyebabkan prestasi buruk BN dalam PRU13. Najib masih belum melantik semula setiausaha politiknya yang kalah akan tetapi ahli strategi "bilik perang" kekal bertugas, dengan dua daripada mereka masing-masing dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.



Pelantikan Kabinet Najib bulan lepas menyebabkan kemarahan beberapa ahli Parlimen terutamanya dari Sabah dan Sabah yang merasakan mereka layak diberikan jawatan tinggi kerajaan.



Difahamkan Najib telah menjanjikan sesetengah daripada mereka jawatan dalam agensi kerajaan beberapa minggu lagi.



Akan tetapi beberapa ahli Parlimen BN dari Malaysia Timur yang tidak berpuas hati bertemu dengan Tengku Razaleigh Hamzah Isnin malam bagi membincangkan pilihan masa depan mereka.



Ahli-ahli Parlimen yang dipilih pada pilihan raya umum 5 Mei berada di sini selama dua hari untuk diterangkan tentang prosedur dan etika Parlimen.



BN mendapat 47 daripada 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, menyumbangkan satu pertiga dari 133 kerusi mereka menangi daripada 222 jumlah kerusi di Parlimen.



Walau bagaimanapun, Najib hanya memberikan 20 jawatan menteri dan timbalan menteri kepada ahli Parlimen Malaysia Timur, menyebabkan parti seperti SPDP dari Sarawak hanya mempunyai satu wakil walaupun menang empat kerusi Parlimen.



Sebaliknya MIC dari semenanjung Malaysia menyaksikan empat ahli Parlimen mereka mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran Najib – yang mempunyai 32 menteri penuh termasuk lapan di Jabatan Perdana Menteri. -TMI



Pembuat Kereta Nafi Dakwaan Utusan Mengenai Penurunan Harga


Posted: 12 Jun 2013 11:15 PM PDT









Pembuat kereta Volkswagen dan Peugeot kedua-duanya telah menafikan penurunan harga tahun ini seperti dilaporkan oleh akhbar milik Umno Utusan Malaysia tiga hari lalu sebagai bukti gabungan pemerintah itu menunaikan janji pilihan raya mereka.



Utusan telah melaporkan Volkswagen, Peugeot, Honda dan pembuat kereta tempatan Proton dan Perodua telah menurunkan harga sepuluh model mereka sehingga 11 peratus bermula Januari tahun ini, menyiarkan senarai harga sebagai bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menunaikan janji mereka untuk menurunkan harga kereta dalam manifesto Pilihan Raya 2013.



"Sila ambil perhatian, harga di imej itu tidak tepat. Harga Golf memang RM157,888 semenjak dilancarkan. Bukan RM169,888," kata wakil dari Volkswagen Malaysia di akaun Facebook mereka merujuk kepada salah satu model Golf.



Seorang pengguna sebelum itu memuat naik laporan Utusan, yang mendakwa harga Golf telah dikurangkan sehingga 7.1 peratus dari RM169,888 ke RM157,888.



Bercakap kepada The Malaysian Insider, seorang pengedar untuk pembuat kereta Jerman itu mengesahkan harga Golf Mark 7 1.4 TSI yang dilancarkan sejak awal tahun ini memang berharga bermula dari RM157,888.



Peugeot Malaysia juga telah memberi respon di laman Facebook mereka mengenai dakwaan Utusan harga bagi model 308 telah diturunkan sebanyak 11 peratus dari RM115,663 ke RM102,888.



"Tanpa sebarang prejudis, tiada apa-apa dikeluarkan oleh kami, kami tidak dirujuk sebelum artikel itu dicetak dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan laporan berita itu. Harga yang ditunjukkan 308 Turbo pra- facelift dan 308 VTi sebenarnya merupakan dua varian berbeza dari Peugeot 308," kata pembuat kereta Perancis itu.



Seorang pengedar Peugeot memberitahu The Malaysian Insider model facelift 308 VTi semenangnya berharga RM102,888 semenjak ianya dilancarkan pada pertengahan tahun lepas dan harga 308 Turbo adalah RM121,888.



Utusan juga melaporkan Honda Jazz Hybrid kini berharga RM89,900 selepas diturunkan sebanyak 2.5 peratus dari RM92,187.



Semakan dengan pembuat kereta dari Jepun itu mengesahkan model versi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) di kilang Alor Gajah sememangnya dijual pada RM89,900 semenjak dilancarkan tahun lepas. Manakala model versi kenderaan jenis diimport sepenuhnya (CBU) dilancarkan sebelum ini berharga RM94,800.



Akhbar Melayu itu juga melaporkan penurunan harga bagi model syarikat tempatan seperti Persona, Preve, Saga dan Exora dari Proton, dan Alza, Viva, dan Myvi dari Perodua.



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengulangi ikrar pilihan raya untuk mengurangkan harga kereta melalui akaun Twitter lewat bulan lepas, berjanji harga kereta akan dikurangkan secara berperingkat sehingga 2017.



Pada hari sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan telah berjanji untuk mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun, seperti yang digariskan dalam manifesto pilihan raya BN.



"Malah, sejak Oktober tahun lalu, harga 10 model popular di negara ini telah turun secara purata 7.3 peratus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu, pertama selepas Mustapa dilantik semula ke dalam Kabinet.



Kedua-dua BN dan pembangkang Pakatan Rakyat telah berikrar harga kereta lebih murah menjelang pilihan raya Mei, walaupun melalui mekanisme berbeza.



Setelah Bergelar YB, Rafizi Mahu Terus Dedahkan Pelbagai Isu


Posted: 12 Jun 2013 08:31 PM PDT









Pertama kali akan berada di Dewan Rakyat secara rasmi, pelbagai isu rakyat akan diperjuangkan demi memastikan cita- citanya untuk melaksanakan perubahan terhadap negara ini menjadi realiti.



Apabila diberikan mandat menjadi Ahli Parlimen Pandan, ia dijadikan tiket untuk terus mendampingi rakyat tanpa mengabaikan perjuangan politiknya dan menganggap membuat bising serta bermain angka adalah hobinya. Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NORSHAHZURA MAT ZUKI dan JAMILAH HAMZAH serta juru foto, SAFWAN MANSOR bersama Pengarah Strategi PKR, RAFIZI RAMLI.



Apakah yang akan disumbangkan dalam Dewan Rakyat nanti?



Saya akan mendapatkan lebih banyak maklumat yang mungkin selama ini tidak diketahui umum. Saya banyak menghabiskan masa dengan membuat analisa data dan maklumat ekonomi.



Ahli Parlimen kita mempunyai pelbagai latar belakang dan tidak ramai berminat dengan data dan angka yang banyak. Saya akan memberikan tumpuan untuk mendapatkan maklumat yang banyak kerajaan supaya kita tafsir, terjemah dan analisa kemudian kita akan membawanya kepada rakyat.



Contohnya maklumat terbaru ialah mengenai pendapatan isi rumah rakyat yang terbaru dan dibuat pada tahun 2012. Sehingga sekarang, kita tidak tahu apa- apa. Ia adalah perkara sulit yang tidak dibentangkan kepada rakyat sedangkan rakyat perlu tahu berapa sebenarnya purata pendapatan isi rumah Melayu dan perbezaan dengan bangsa lain.



Ini adalah contoh peranan yang boleh dimainkan dengan baik. Maklumat yang orang tidak berminat ini kita dapatkan supaya ia boleh dibawa kepada pengetahuan umum.



Adakah YB akan lebih banyak mendedahkan lebih banyak isu selepas ini dan apakah isu tersebut?



Isu yang akan dibawa ada dua jenis iaitu isu rapat atau hobi kita. Antaranya ialah perkara yang telah dibawa iaitu turun harga kereta, pendidikan, masalah melibatkan orang muda dan pengumuman terbaru untuk tidak memberikan jaminan pekerjaan kepada siswazah perguruan.



Banyak rakyat datang tanya dan meminta pertolongan kita serta memberikan maklumat kepada kita. Itu pun isu yang akan dilihat dan saya akan membawanya dari semasa ke semasa. Ketika ini saya didatangi banyak pemandu teksi yang mengemukakan dua isu.



Pertamanya ialah mengenai janji permit peribadi tetapi ia tidak peribadi. Apa yang dijanjikan ialah permit peribadi tetapi apa yang perlu lakukan ialah memohon dan kena membeli kereta jenis proton Exora.



Permit sah hanya tujuh tahun. Ini bermakna mereka perlu membayar lebih daripada sekarang dan perlu bertukar kereta setiap tujuh tahun. Keduanya, pada tahun 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan mengenai rebat pemandu teksi tukar kereta baru supaya banyak kereta baru.



Bagaimanapun rebat itu belum dibayar, sepatutnya dibayar 2012. Dari semasa ke semasa, pada sidang baru nanti, selain isu biasa yang dibawa secara peribadi, apa yang di bawa oleh rakyat kita kena bawa.



Saya juga akan menumpukan perhatian kepada isu ekonomi, soal pendapatan rakyat, jurang miskin kaya dan isu yang wang 1Malaysia iaitu sebanyak RM7 bilion diletakkan di luar negara sedangkan ia dipinjam dari dalam negara tetapi dipindahkan ke luar negara. Tata kelola dan urus tadbir yang baik. Saya juga akan membawa isu SPR dan dakwat kekal.



Adakah YB yakin, petisyen yang dikemukakan PR mampu mengubah keputusan PRU13?



Ia bergantung kepada keputusan mahkamah, tidak boleh baca bagaimana hakim akan menangani dan mengadili petisyen- petisyen ini. Saya perlu bersandarkan kepada rekod petisyen lepas iaitu hanya satu peratus sahaja peluang di bicarakan.



Pada tahun 2008, 29 petisyen difailkan seluruh negara hanya satu sahaja dibicarakan sebelum ditolak manakala 28 itu ditolak ketika difailkan. Petisyen ini sukar kerana standard bukti yang diperlukan terlalu tinggi. Jika tafsiran yang sama diperlukan, ia susah kecuali Hakim mengambil pendirian lain.



Apakah isu yang difokuskan?



Bergantung kepada setiap tempat dan undang- undang pilihan raya. Undang- undang pilihan raya, setiap isu mesti salah satu asas yang ditetapkan undang- undang pilihan raya.



Pertamanya ialah rasuah khusus iaitu calon ditangkap ketika memberikan wang, ini tiada. Keduanya, rasuah umum dan ini biasanya berlaku seperti beri makanan, kena dapat saksi kerana asas memfailkan petisyen ialah jumlah saksi boleh menukar keputusan pilihan raya.



Jika hanya membawa dua tiga orang sahaja, itu tidak cukup, maka ditolak. Ketiganya ialah kesalahan- kesalahan pilihan raya termasuklah borang 14 salah kira, 'black out' dan peti undi hilang. Kita hanya boleh memfailkan mengikut kawasan tertentu bukannya seluruh Malaysia.



Contohnya Segamat, beberapa soal dakwat kekal, pengundi tidak boleh undi, 2,000 pengundi di Segamat perlu mengundi di tempat lain walaupun mereka tinggal serumah yang sama.



Ini adalah kerana untuk mengurangkan pengundi Cina. Mereka tidak boleh mengundi di Segamat untuk mengurangkan pengundi Cina. Bukti kuat dan hanya berlaku di Segamat.



Di Parlimen Balik Pulau pula ialah jumlah kertas undi yang dikira melebihi kertas undi yang dikeluarkan.. Di Ketereh kesalahan pilihan raya iaitu peti undi awal dibuka tanpa arahan mahkamah. Setiap satu kerusi, ada kesalahan yang khusus.



Adakah bukti yang sedia ada mencukupi untuk memfailkan petisyen pilihan raya?



Pada pandangan saya, maklum balas, bukti itu mencukupi pada pengiraan mahkamah, itu adalah keputusan Hakim, kita kena tunggu. Oleh itu, kita mengambil pendirian, sementara kita memfailkan di mahkamah, kita juga akan memberikan maklumat- maklumat penipuan ini melalui media kepada rakyat kerana kita juga mahu menguji rakyat sama ada boleh terima atau tidak bukti.



Selepas sebulan, rakyat memang berkata berlaku penipuan contohnya di Besut, pegawai SPR buat laporan polis, mengaku bahawa undi dirampas. Saya memujuk dia untuk tampil.



Kalau ada keputusan begitu, biar dia tampil dan saya rasa mahkamah tidak menerima bukti ini tidak mencukupi, saya yakin rakyat boleh terima bahawa ini bukti kukuh, penipuan telah berlaku.



Jika petisyen tidak berjaya, adakah PKR akan membuat rayuan?



Kalau ikut undang-undang mahkamah, apabila memfailkan petisyen, mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan pilihan raya dan mengarahkan pilihan raya diadakan semula.



Kalau ada pilihan raya semula, hanya di kerusi Parlimen tertentu sahaja kecuali SPR atau kepimpinan kerajaan di Putrajaya merasakan bahawa mandat mereka rapuh dan tidak kuat dan perlu mendapatkan mandat baru.



Walaupun 29 kerusi dipanggil pilihan raya semula, keadaan mana majoriti BN rendah hanya 22 Parlimen sahaja, mungkin ada kesan kepada mandat kerajaan di Putrajaya. Ada kemungkinan- kemungkinan itu, hanya pilihan raya 29 kawasan yang difailkan petisyen. Sama ada membuat rayuan atau tidak, saya akan merujuk balik majlis pimpinan dan pimpinan PKR kerana kos tinggi.



PKR akan memfailkan 19 petisyen, berapakah keyakinan YB untuk menang?



Kesemua 19 kerusi tersebut mempunyai bukti yang kukuh, kita akan bentangkan bukti ini mengikut Parlimen melalui media dan sebagainya. Berdasarkan keputusan mahkamah lepas, di pihak PKR tujuh kerusi buktinya lebih dekat standard bukti yang ditetapkan SPR.



Tujuh kerusi tersebut apabila kesalahan dibuat SPR atau pihak lawan terlalu besar untuk dilupakan. Tujuh kerusi mempunyai peluang besar untuk terus ke peringkat perbicaraan.



Selepas membuat petisyen apakah langkah seterusnya yang akan diambil?



Daripada awal lagi ini adalah sebahagian usaha kita untuk menuntut reformasi dan pembaharuan pilihan raya. Itu menjadi isu terbesar selepas PRU13. Sentimen rakyat cukup kuat kalau berdasarkan kehadiran dan sokongan mereka kepada perhimpunan- perhimpunan aman yang telah dibuat.



Petisyen sebahagian langkah terus tuntut yakin rakyat bahawa kita perlu ada perubahan dan penambahbaikan reformasi pilihan raya. Selain memfailkan petisyen, sudah tentu kita akan bawa ke Parlimen, kita akan terus dengan sesi penerangan dan kempen dan perhimpunan aman.



Kita akan kemukakan pelbagai cadangan dan konsep baru mengenai pilihan raya adil terutamanya berkaitan persempadanan semula yang akan berlaku pada bila- bila masa. Kita akan bawa semua ini mengikut saluran dan kaedah yang ada pada kita.



Yang penting rakyat dapat pemahaman kenapa sistem dan SPR yang ada sekarang tidak berkesan untuk menjamin pilihan raya adil sehingga berlaku penipuan dan penyelewengan.



BN tidak akan berganjak kalau hanya berdebat dalam Parlimen atau berbincang. BN berganjak apabila ada isyarat jelas daripada rakyat tuntut perubahan dan pertukaran dasar. Kesemua langkah ini untuk menekan BN supaya akur dengan tuntutan rakyat mengadakan reformasi pilihan raya.



YB adalah antara pemimpin muda yang dilihat menonjol dan mungkin terlalu menonjol kerana sering membuat sidang media, adakah ini atas inisiatif sendiri atau arahan parti?



Saya sendiri ahli politik muda mempunyai pandangan lain kerana tidak besar kerangka politik lama. Kerangka politik lama kena naik bertanding dan menunggu masa lama akibatnya sebahagian besar masa politik mereka tertumpu kepada dalaman parti sahaja.



Mereka banyak menumpukan masa kepada pimpinan parti, daripada memikirkan apa yang terjadi. Kami yang muda tidak melalui sistem itu. Dalam PKR, pandangan lain kerana apa yang penting ialah apa yang rakyat fikirkan bukannya apa yang orang dalam parti fikirkan. Ahli Politik mesti ada isu berkaitan rakyat yang serasi dengan kita untuk dibawa.



Kita tidak ada akses kepada media perdana, kita hanya media Internet sahaja. Kita tidak ada pilihan lain untuk membawa isu kecuali untuk membuat laporan dan sidang media.



Ia berkesan dan itulah gaya politik baru dan rakyat menilai laporan politik dengan melihat isu mana yang rakyat bawa. Rakyat tidak menilai jawatan yang dipegang tetapi mereka melihat isu yang dibawa dan kerja- kerja yang dilakukan. Cara terbaik membawa isu yang dekat dengan rakyat.



Adakah YB akan terus aktif berkhidmat kepada masyarakat sehingga di akhir usia?



Tidak. Saya daripada awal lagi, tidak rancang untuk jadi ahli politik. Saya hanya mahu perubahan. Saya muda dan beberapa perkara yang saya mahu Malaysia berubah dan lebih adil. Selama ini, boleh berada di belakang dan hanya membantu dari segi dasar.



Sampai satu peringkat, pimpinan melihat perlu tampil ke depan. Saya tidak mahu bertanding dalam pilihan raya sebab latar belakang lain. Oleh kerana keperluan untuk menang kerusi seberapa banyak, saya perlu bertanding.



Tidak ada rancangan untuk menjadi ahli politik sampai habis. Kalau boleh saya mahu bersara 55 tahun. Apabila menjadi ahli politik muda, banyak masa bersama keluarga akan hilang.



Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada pilihan kerana rakyat dan pimpinan PKR memerlukan beliau. Beliau juga mempunyai pandangan yang sama kebanyakan kita. -SH



Nampaknya Pengerusi SPR Tak Mau Letak Jawatan Secara Sukarela, Tetapi Secara Paksa


Posted: 12 Jun 2013 05:00 PM PDT









Pengerusi SPR: Kami tak akan letak jawatan



KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini menegaskan barisan kepimpinan suruhanjaya itu tidak akan meletak jawatan hanya kerana didesak sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan proses Pilihan Raya Umum ke-13.



Menurutnya barisan kepimpinan SPR yang terdiri daripada beliau, timbalannya dan lima anggota jawatankuasa suruhanjaya itu, dilantik mengikut Perlembagaan Persekutuan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.



Peletakan jawatan barisan kepimpinan SPR yang merupakan sebuah badan bebas, tidak boleh dibuat secara tidak rela atau paksaan seperti yang didesak oleh sebuah kumpulan.



"Ia hanya boleh dibuat melalui undang-undang," katanya kepada pemberita selepas ditemu ramah stesen radio Nasional FM di Angkasapuri di sini.



Beliau berkata hanya Yang di-Pertuan Agong berhak mengeluarkan arahan kepada barisan kepimpinan SPR untuk meletak jawatan jika terbukti mereka melanggar peraturan dan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.



"Kalau kami melanggar undang-undang, cara yang baik adalah melalui petisyen dan berjumpa di mahkamah...buktikan dahulu kami melakukan perkara tersebut dan kita sama-sama lihat,"
katanya.



Abdul Aziz berkata berkata barisan kepimpinan SPR hanya boleh dilucutkan jawatan disebabkan bankrap, memegang jawatan lain dengan mendapat pendapatan, menjadi wakil rakyat, atau sebab-sebab lain seperti jenayah dan masalah mental seperti gila.



"Maknanya atas sebab kepercayaan awam tidak ada lagi ataupun melanggar peraturan Perlembagaan Persekutuan, dan ia boleh dilakukan melalui penubuhan tribunal," katanya.



Beliau juga berkata tindakan pembangkang mengheret rakyat untuk berhimpun kerana tidak puas hati dengan proses pilihan raya umum lepas tidak akan mengubah keputusan pilihan raya itu.



"Buktikan melalui undang-undang...jangan kita mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang lain, persepsi mereka yang keluar perhimpunan seolah-olah mereka percaya SPR menipu," katanya.



Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata SPR akan tetap meneruskan kajian semula persempadanan pilihan raya di negara ini menjelang akhir tahun ini dan ia akan dilaksanakan dengan telus.



Proses persempadanan semula yang terakhir dilakukan pada 2003 dan sepatutnya dibuat semula pada 2011, tetapi SPR telah menangguhkannya sehingga pilihan raya umum ke-13 selesai, katanya.



"Peguam Negara telah menasihati SPR untuk memulakan segera kajian semula persempadanan ini," katanya.



Beliau berkata di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2)(ii), persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dibuat dalam tempoh tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya kajian sebelumnya.



Beliau berkata SPR diberi tempoh maksimum dua tahun untuk melengkapkan kajian dan kajian persempadanan itu terlebih dahulu akan dipamerkan kepada orang ramai sebelum dibawa ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dibahas dan dilulus. - Bernama



Ulasan GB



Baguslah kalau dah ambil sikap macam tu sekalipun majoriti rakyat sudah buat keputusan mengundi Pakatan Rakyat (51%), yang bererti juga majoriti rakyat telah meminta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatannya kerana Pakatan selama ini bertungkus lumus berhimpun di seluruh negara meminta mereka berdua meletakkan jawatan.



Tidak mahu berundur secara sukarela, bererti kamu mahu berundur secara dipaksa...



Ok, fine, kita tunggu saja hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya..



Yang rakyat minta dan rakyat doakan ialah kedua-dua makhluk tersebut dihumbankan ke penjara di satu hari nanti. Muga Allah memperkenankannya, aminnn!



p/s GB hairan mengapa Pakatan Rakyat terlalu lembik di dalam hal ini. Pemimpin Pakatan Rakyat perlu bertindak pro-aktif. Bukan sekadar turun buat himpunan BLACK 505 sahaja, tetapi MESTI membuat dan kemukakan aduan terus kepada Majlis Raja-raja.



Persembahkan segera surat kepada Yang Dipertuan Agong agar Majlis raja-raja membincangkan hal tuntutan majoriti rakyat supaya kedua-dua Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dilucutkan jawatannya dan Perdana Menteri disiasat mengapa terlalu membela anggota SPR ini.



Juga pemimpin Pakatan perlu tegas di dalam Parlimen nanti supaya Suruhanjaya Diraja Siasat SPR dibentuk segera. Jika PM tidak mahu mendengarnya, maka usul tidak percaya dikemukan terhadapnya. Jika tak lulus, usul lagi, sampai berjaya. Jika Speaker menolak, usul tak percaya pula diberikan terhadapnya.



Biar ada rekod dalam hansard bahawa ada usul tak percaya telah dikemukakan terhadap Speaker berkenaan. Menjadi bukti bahawa PR telah berusaha sehabis daya.



Kena tegas dan sudah sampai masanya untuk wakil rakyat Pakatan bertindak. MAJORITI RAKYAT BERSAMA KAMU!










[BERGAMBAR] Bot Terbalik Di Dungun, Dua Nelayan Dikhuatiri Lemas


Posted: 12 Jun 2013 04:50 AM PDT








Orang ramai mengerumuni pantai Sura untuk menyaksikan operasi mencari dan menyelamat bagi mengetahui perkembangan terkini tentang nasib yang menimpa dua sahabat yang masih hilang itu. - Foto: NIK MUHAMMAD RAFFIQ



Seorang nelayan terselamat manakala dua lagi rakannya dikhuatiri lemas apabila bot gentian kaca yang dinaiki mereka terbalik di perairan Pantai Sura Hujung, dekat sini semalam.



Kejadian pukul 4.45 petang itu menyebabkan dua nelayan berkenaan, Mohd Saifuddin Shafie, 18, dan Halim Hurus, 22, hilang manakala Mohd Mazli Mohamad, 30, berjaya diselamatkan.



Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan dan ketika meluncur 300 meter menghampiri darat, bot yang dikemudi Halim dikatakan membuat pusingan mengelak selepas terlihat ombak kecil di hadapan.



Berikutan itu, bot yang dinaiki mereka dikatakan berpusing sebelum terbalik menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak ke dalam laut.



Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata seorang daripada nelayan itu iaitu Mohd Mazli diselamatkan oleh penduduk tempatan yang berada di tepi pantai dan melihat kejadian itu.



Beliau berkata Mohd Mazli yang lemas dan tidak bermaya kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun.



"Sehingga pukul 8 malam tadi, gerakan mencari dua lagi nelayan itu masih diteruskan melibatkan anggota Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung," katanya kepada pemberita di sini.



Dahlan berkata ketiga-tiga nelayan itu yang berasal dari Kampung Sura Hujung keluar menangkap ikan sejak pagi.



Sementara itu, Hamidi Hurus, 19, ketika ditemui di hospital berkata ketika kejadian beliau berada di tepi pantai menunggu kepulangan abangnya, Halim.



"Masa itu saya melihat bot yang dinaiki abang berpusing saya nampak dengan jelas mereka semua tercampak ke laut," katanya.



Hamidi berkata dia hanya berjaya menyelamatkan Mohd Hazli manakala abangnya dan seorang rakan lain hilang. – Bernama




Tragedi tiga sahabat



DUNGUN – "Tiba-tiba saya lihat bot yang mereka naiki berpusing, ketiga-tiganya tercampak dalam air, saya lihat mereka tenggelam timbul namun saya tak dapat buat apa-apa," kata Hamidi Shafie, 19, adik kepada Halim Hurus, 22, salah seorang daripada mangsa lemas di Pantai Sura, dekat sini, petang semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, bot gentian kaca berukuran kira-kira empat meter panjang dinaiki tiga sahabat itu dikatakan berpusing sebaik menghampiri pantai menyebabkan Mohd Shabudin, Halim Harun, 22, serta Mazli Muhammad, 30 tercampak ke dalam laut.



Ketika kejadian, mereka bertiga dalam perjalanan pulang ke pantai selepas keluar menangkap ikan di perairan Dungun kira-kira jam 7.30 pagi semalam.



Menurut Hamidi, kejadian cemas itu sempat disaksikannya kerana dia ketika itu berada di tepi laut menunggu kepulangan tiga sahabat itu.



Katanya, dalam keadaan cemas, dia terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum bot terbabit hanyut ke tepi pantai, lalu menghidupkan enjinnya semula dan memandu ke arah tiga rakan yang lemas itu.



Hamidi menceritakan, sebaik berjaya merapati lokasi sahabat itu lemas, dia terpandang kelibat Mazli lalu terus memautnya ke dalam bot.



"Ketika saya memaut Mazli ke dalam bot, dia beberapa kali menyebut nama Halim, saya cuba mencarinya namun dia sudah hilang dari pandangan.



"Saya kecewa sebab tak dapat selamatkannya," kata Hamidi yang masih trauma dengan kejadian menimpa abang dan rakannya itu.



Turun kali kedua cari mangsa



Hamidi kemudiannya membawa Mazli ke darat sebelum turun semula ke laut memandu bot untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang.



Hamidi berkata, selepas tiba kali kedua di lokasi mangsa hilang, dia gagal mengesan dua mangsa, lalu pulang semula ke darat sebelum pihak berkuasa melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilaporkan masih hilang itu.



Sementara itu, penduduk, Nasir Ismail, 48, berkata, Mazli dan dua rakannya yang masih hilang itu merupakan sahabat baik dan mereka dikatakan sering turun ke laut bersama untuk menangkap ikan.



Nasir berkata, sebaik menerima berita kejadian lemas itu, dia yang tinggal berdekatan bergegas ke pantai dan sempat memberi pertolongan kepada Mazli sebaik mangsa dibawa ke darat.



"Ketika itu dia sudah tidak bermaya. Saya beberapa kali cuba mengajarnya mengucap tapi dia tidak sedarkan diri, tak tahulah nasibnya bagaimana," kata Nasir yang bekerja sebagai pemandu trak tunda.



Ibu doa anak ditemui



Ibu Sahbudin, Mariam Mat Ali, 54, ketika menyaksikan operasi mencari anaknya itu menceritakan, anaknya sebelum itu dikatakan tidak pulang ke rumah dan dia berkemungkinan bermalam di rumah Halim untuk memudahkan dua sahabat itu turun ke laut pada awal pagi.



Mariam berkata, mangsa, anak ketujuh daripada 10 beradik itu merupakan bekas pelajar kelas pendidikan khas sekolah Menengah Kebangsaan Sura dan turut mempunyai kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).



Katanya, sebaik pulang kerja, dia terkejut apabila dimaklumkan anak lelakinya yang mesra dengan panggilan Syamil itu lemas di laut.



"Bila diberitahu Syamil lemas di laut, saya rasa tiada harapan lagi. Apa pun saya berdoa dia segera ditemui," kata Mariam yang kelihatan sugul.



Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat memaklumkan, gerakan mencari mangsa diteruskan.



Gerakan mencari juga turut melibatkan penduduk kampung. Sehingga jam 9 malam, keadaan Mazli dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Dungun, manakala operasi mencari dan menyelamat dua lagi yang masih hilang diteruskan.



Sabtu lalu, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurul Nabilah Zubir menjadi mangsa lemas ketika sedang mandi-manda di pantai Teluk Gadung, kira-kira 500 meter dari lokasi tragedi lemas membabitkan tiga sahabat itu.



Ia kejadian kedua dalam tempoh seminggu.
-SH





Abang Sahbudin, Mohd Shahrizam (kiri) memeriksa beg pinggang, dipercayai milik Halim yang ditemui di permukaan laut berhampiran lokasti dua sahabat itu dilaporkan hilang. - Foto: NIK MUHAMMAD RAFFIQ



Penduduk kampung turut membantu mencari dua mangsa yang masih hilang dengan menggunakan bot gentian kaca. - Foto: NIK MUHAMMAD RAFFIQ







TERKINIMangsa terakhir bot gentian kaca terbalik ditemui



DUNGUN - Gerakan mencari dua nelayan yang hilang selepas bot gentian kaca yang mereka naiki terbalik di perairan Pantai Sura Hujung di sini semalam, ditamatkan setelah mayat mereka ditemui hari ini.



Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata mayat Mohd Saifuddin Shafie, 18, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 5.25 petang ini.



Terdahulu mayat seorang lagi nelayan, Halim Hurus, 22, ditemui kira-kira 1 pagi ini setelah terdampar di persisir pantai kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.



Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang semalam, tiga nelayan terhumban ke laut setelah bot yang mereka naiki terbalik. Seorang daripada mereka, Mohd Mazli Mohamad, 30, berjaya diselamatkan penduduk tempatan yang berada di tepi pantai.



Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan dan ketika meluncur 300 meter menghampiri daratan, bot yang dikemudi Halim dikatakan membuat pusingan mengelak selepas terlihat ombak kecil di hadapan.



Berikutan itu, bot yang dinaiki mereka dikatakan berpusing sebelum terbalik menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak ke laut.
- Bernama











You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC

To stop receiving these emails, you may unsubscribe now.
Email delivery powered by Google
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610






Bacaan penuh SUMBER ASAL

0 komen:

Post a Comment